Piala Malaysia 2011: Selangor kalah lagi

SHAH ALAM, (D5) - Selangor tewas 2-1 menentang T-Team dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2011 yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
Selangor terlebih dahulu berada di depan pada babak pertama menerusi jaringan Mohd Amri Yahya pada minit ke-14.
Jaringan bermula daripada gerakan cantik pemain kebangsaan, Safiq Rahim yang menggelecek dua pertahanan T-Team sebelum melorong bola kepada Amri.
Amri melakukan penyudah yang bertenaga untuk menewaskan penjaga gol T-Team, Mohd Zaire Hafiezi.
Safiq berpeluang menambah gol buat Selangor lima minit sebelum waktu rehat tetapi percubaanya singgah di tiang gol.
T-Team yang tersentak dengan jaringan itu bangkit dengan lebih banyak aksi menyerang pada babak kedua.
Indra Putra Mahayuddin mengejutkan pertahan Selangor dengan gerakan solonya sebelum melepaskan rembatan yang berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, G. Jeevanathan pada minit ke-46.
Setengah jam kemudian, Zairo Anuar juga menguji Jeevanathan menerusi rembatan dari luar kotak penalti, yang memaksa penjaga gol Selangor itu menepis keluar bola.
Mohamad Nor Farhan menyamakan kedudukan pada minit ke-82 menerusi tandukkan lambung yang mudah menewaskan Jeevanathan.
Indra sekali lagi mencuri tumpuan dengan gerakannya sebelum menghantar bola kepada Farhan.
Tersentak dengan gol tersebut, Selangor kembali menguasai permainan dengan serangan demi serangan melalui rangkaian Safiq, Amirulhadi Zainal dan Amri tetapi penyudah kurang berkesan.
Dalam kegopohan Selangor menyerang, Tengu Hasbullah telah dikasari dan T-Team diberikan sepakan percuma dari anggaran jarak 30 meter dari pintu gol.
Zairo menjadi wira T-Team apabila sepakan percuma lencongnya berjaya menewaskan Jeevanathan sekaligus memberikan kemenangan mutlak kepada T-Team.
Ini adalah kekalahan kedua Selangor dalam saingan Piala Malaysia musim ini selepas tumpas kepada T-Team juga di pusingan pertama peringkat kumpulan.

http://www.arena.my/Arena/ArenaArticle/tabid/440/Default.aspx?newsId=177616

Sumber: 
Reactions

Post a Comment

0 Comments